Segala puji bagi Allah yang telah mewahyukan Surah Al-Fatihah (Ibu Quran) yang menjadi sumber membangkitkan SUARA HATI; pemberi informasi yang maha penting, pembisik kebenaran terpuji. Al-Fatihah telah menjadi dasar membina akhlak terpuji, memantapkan keyakinan harapan dalam segala permintaan. Begitu juga menjadi panduan diri ke arah KEJAYAAN HAKIKI di dunia dan akhirat.
![]() |
| Al-Quran panduan orang-orang Islam |
Saya ingin berkongsi sedikit mengenai KESEMPURNAAN AL-FATIHAH, dari segi bacaannya mahupun maksudnya. Saya bukan arif sangat mengenai hal ini. Jika ada kesalahan harap tegur dan perbetulkan, kerana tuntutan menuntut ilmu adalah menegur kesilapan yang berlaku dan membetulkan segala kesilapan tersebut. sekadar satu perkongsian.
Biarlah tetapkan hati bermula dengan niat untuk meminta bimbingan Allah bagi memahami menghayati serta menerapkan dalam kehidupan sehari-hari sebagai pedoman Agong dari Allah. Setiap bacaan, bermulalah dengan:-
1. Bismillaaahirrahmaanirrahiim.
Maksud : Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
----- Setiap yang kita mula, ingatlah memulai sesuatu atas nama Allah. Dalam permulaan ini, nama-nama Allah, rahman dan rahim telah memberi kita panduan supaya memulakan dengan sikap rahman dan rahim dalam memulai sesuatu yang pastinya membawa kebaikan. Ya nama Allah merupakan tenaga Ilahi yang menjadi penjana kepada segala aktiviti makhluk. Inilah ayat yang mampu menjadi pemangkin kepada diri ke arah kebaikan dan kejayaan, kerna ingat bahawa apa yang kita kerjakan adalah "dengan nama Allah..". Dengan ini juga kita lebih percaya diri kerana bertindak atas nama Allah Yang Maha Mulia, Maha Agong lagi Maha Perkasa. Bacalah dengan sepenuh hati untuk merasai kebesaran Allah yang terdapat dalam diri kita.
2. Alhamdulillaahirabbil 'Aalamin.
Maksud : Segala puji bagi Allah semesta alam.
----- Kita sebagai makhlukNya akan sentiasa merasa dalam curahan rahmat Allah, pemilik alam semseta. Akan merasa tenteram, rasa dilindungi kerana kita telah didasari suara hati oleh kepercayaan bahawa kita berbuat apapun hanya atas tugas mensejahterakan bumi milik Allah. Maka semestinya kita selalu meningati sifat-sifat Allah sebagai landasan kecerdasan emosi dan spiritual.
3. Arrahmaanirrahiim.
Maksud : Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
----- Inilah sikap yang perlu ada dalam setiap makhluk. Sikap mengasihi sesama makhluk. Ya, bagi meraih suatu kepercayaan, haruslah didasari atau di tunjangi oleh sikap rahman dan rahim kepada diri dan semua orang. Sentiasa berfikir untuk memberi manfaat sesama manusia dan tidak merugikan orang lain , inilah kunci kepada kesejahteraan sosial yang dicari. Berkasihlah sesama makhluk dengan landasan yang Allah bagi. dengan landasan yang Allah syaratkan.
4. Maaliki Yaumiddiin.
Maksud : Pemilik/ Raja Hari Pembalasan.
----- Matlamat asas kita dihidupkan yang selalu berorientasikan masa depan, memiliki tujuan dan harapan yang jelas, serta mematuhi perancangan yang benar dalam mencapai matlamat hidup. Memiliki kesedaran penuh bahawa kejayaan tidak BOLEH dicapai dengan jalan yang dilarang. Inilah jaminan KEJAYAAN bagi orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah semata-mata.
5. Iyyaaka Na'budu Wa Iyyaaka Nasta'iin.
Maksud : hanya kepada Mu kami mengabdi dan hanya kepada Mu kami meminta pertolongan.
------ Mengajak kita untuk mengukuhkan keimanan dalam diri kita.Semua yang dilakukan hanya kerana Allah yang Esa. Melakukan sesuatu dengan penuh kejujuran dan bersungguh-sungguh sedaya upaya dengan bijak sana untuk mencapai matlamat kerana merasa sentiasa 'dilihat' Allah. sentiasa sanggup menghadapi rintangan da redha dengan kegagalan tanpa pututs asa meneruskan usaha dengan penuh keikhlasan.
6. Ihdiash Shiraathal Mustaqiim.
Maksud : tunjukilah kami ke jalan yang luas dan lurus
------ Dalam ayat ini, tersiratnya adalah kita disuruh untuk memperbaiki segala tindakan kita semuanya dalam landasan yang betul dan jalan yang betul. Jalan lurus ialah jalan Tauhid Uluhiyah (pengabdian diri hanya kepada Allah) dan Tauhid Rububiyah (berhajat dan bergantung kepada Allah). Inilah langkah mengikuti Suarah Hati dalam fikiran ke alam nyata. Dalam ayat inilah merupakan perletakkan perjuangan yang sesungguhnya, langkh Islam yang diaplikasikan secara menyeluruh.
7. Shiraathal Ladziina An'amta'Alaihim, Ghairil maghdhuubi'Alaihim waladh Dhaalliin.
Maksud : Jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai, bukan jalan yang sesat.
------ Ayat ini juga memnerangkan mengenai penyempurnaan iaitu kesungguhan dan keredhaan. Dalam perjalanan hidup ini, teruslah bersihkan hati, asah fikiran dan baiki perlaksanaan secara berterusan, sehingga terasa dan terbentuk perubahan-perubahan dalam pencapaian jasmani dan rohani. Dengan penuh yakin jalan Allah sangat luas menjanjikan kejayaan HAKIKI demi mencari redha Allah SWT.
8. Amiin.
Maksud : kabulkanlah
----- Menerima segala ketentuan Allah. Apa pun yang berlaku, bersyukur, terima dengna ikhlas untuk lebih bermuhasabah, mengkaji dan lebih berusaha kerana yakin bahawa usaha kita belum sempurna menurut ketetapan (qadak dan qadar) Allah.
Al-Fatihah surah yang menyimpan seribu rahsia di dalamnya untuk kita cungkil dan bongkar apa yang telah dimaksudkan dalam kalam Allah ini. Jika kita lihat, surah Al-Fatihah memberi panduan segala-galanya dalam kehidupan kita untuk yang lebih baik. Bacalah surah ini dengan sifat hurufnya yang betul, tajwid yang betul dan hayati segala maksud ayat ini. Bacalah dengan meminta bimbinganNya dengan niat ikhlas kerana Allah. Barakallah.
** Saya tinggalkan video mengenai cara bacaan yang betul bagi Surah Al-Fatihah yang dikendalikan oleh Ustaz Don Daniyal dalam rancangannya 30 Minit bersama Ustaz Don.



0 comments:
Post a Comment